Friday, August 29, 2008

LATIHAN INDUSTRI

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini satu lagi kenyataan yang sukar untuk diterima. Pengumuman tempat Latihan Industri oleh Lectures pagi tadi. Ya memang benar ku katakan pada family,sahabat-sahabat yang ku sayangi aku ingin pergi jauh... jauh...

Bukan apa, aku ingin berdikari dan mencari sesuatu yang baru. Tapi, untuk yang ini memang luar jangkaanku. ALS TECHNICHEM dekat SHAH ALAM.... Hmm, masa isi borang UPU pun memang mengelak untuk isi universiti-universiti di Lembah Klang... Kali ini sebenarnya tamparan hebat buat diriku. Lebih menyebabkan hatiku tawar, tempat LI dalam makmal. Aku bukan jenis yang boleh duduk diam-diam. Cabaran-cabaran.

Masih keliru nak pilih yang mana 1. Semoga Allah tunjukkan jalan yang terbaik buat diriku....

Saturday, August 23, 2008

DEMONSTRASI=UNJUK RASA (SIRI 1)

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah dengan izin dariNYA, ketika membuka carian google terjumpa sebuah artikel yang ku kira bagus untuk memberi pemahaman kepada kita semua mengenai demonstrasi. Gaya pemikiran dan tulisan penulis ini sangat sesuai dengan akal fikiran kita maksudnya mudah untuk memahami.

Kenapa aku sangat berminat mengenai DEMONSTRASI???

Sejak akhir-akhir ini negara kita umpama dilanda musim berdemonstrasi... Rakyat mahupun mahasiswa bebas menyatakan pendirian mereka. Dah ada satu aura perubahan dalam mentaliti masyarakat. Dah punya satu sensitiviti yang cukup dekat di hati. Sedikit demi sedikit blok2 pemisah antara kita semua berjaya diruntuhkan. Dan akhirnya ku pasti penghujung destinasi ini hanya bermatlamatkan mengagongkan ALLAH TAALA.

Mari kita ikuti apa kata penulis ini...
Ada beberapa part yang aku olah sedikit...sebab artikel nie dah lama... cuma aku ja yang baru terjumpa. Kurang sesuai dengan zon waktu sekarang.

Aktiviti berdemonstrasi (tunjuk perasaan) atau perarakan di jalan-jalan, berkumpul di luar bangunan atau kawasan terbuka dengan membawa sepanduk yang merupakan manifestasi dari rasa tidak puas hati berkenaan sesuatu perkara nampaknya semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Secara sepintas lalu, ia menunjukkan sifat prihatin rakyat terhadap isu-isu semasa yang menyentuh sensitiviti mereka.

Dilihat dari sudut sejarah, demonstrasi sebenarnya telah lama menular ke negara ini, semenjak Tanah Melayu dijajah oleh British lagi. Ketika itu, kuasa pemerintahan dipegang sepenuhnya oleh British yang menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat. Rakyat, khususnya orang Melayu bangkit untuk menentang penjajah. Kebangkitan mereka dimanifestasikan oleh tindakan demonstrasi untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada British. Para pejuang nasionalis Melayu sebelum zaman merdeka telah beberapa kali melakukan tindakan demonstrasi dan antara yang terbesar adalah demonstrasi yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar, pada 10 Februari 1946. Dianggarkan seramai 15,000 orang Melayu telah berhimpun menentang penubuhan Malayan Union, di Batu Pahat, Johor. Ini telah menjadi titik tolak kepada beberapa siri demonstrasi orang Melayu, khasnya ahli UMNO selepas itu dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu sehingga berakhirnya penjajahan pada 31 Ogos 1957.

Amat tidak wajar jika kita membuat kesimpulan bahawa demonstrasi yang telah dilakukan ini suatu tindakan bodoh. Adakah pemimpin-pemimpin (khasnya UMNO) dan rakyat yang telah berjuang dengan melakukan demonstrasi untuk mendapatkan kemerdekaan dari British ini telah melakukan suatu kebodohan? Walaupun demonstrasi itu telah dilakukan ’secara haram’ (kerana British pada waktu itu tidak memberi permit untuk rakyat mengadakan demonstrasi), tetapi pemimpin dan rakyat pada waktu itu tidak pernah beranggapan ia adalah suatu kebodohan, malah sebaliknya. Walaupun perhimpunan adalah ‘haram’, rakyat tetap bangkit dan berdemonstrasi tanpa memperdulikan ‘keharamannya’. Inilah sejarah yang tidak dapat kita nafikan.

DEFINISI DEMONSTRASI

Demonstrasi sebagaimana yang disebutkan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengandungi dua makna. *Pertama*: penerangan, peragaan, penunjukan tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain; *Kedua*: tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain. Inilah definisi yang menjadi topik perbincangan kita. Daripada definisi itu sendiri, kita dapat fahami bahawa demonstrasi tidak membawa apa-apa konotasi yang negatif, apalagi yang menjurus kepada kesalahan. Demonstrasi pada hakikatnya merupakan salah satu cara untuk menampakkan aspirasi ataupun pendapat (*ta’bir ar-ra’yi*)* *masyarakat secara berkumpulan. Namun demikian, apa yang lebih penting bagi kita sebagai umat Islam adalah untuk memandang pengertian demonstrasi dari perspektif Islam. Secara umum, aktiviti menampakkan aspirasi atau pendapat di dalam Islam adalah perkara yang dibolehkan (*mubah*). Hukumnya sama seperti kita mengungkapkan pandangan atau pendapat tentang suatu perkara, cuma dalam hal ini ia dilakukan oleh sekumpulan orang. Di dalam pengistilahan bahasa Arab, demonstrasi boleh dibahagikan kepada dua: 1) Demonstrasi Liar (* Muzhaharah*) : iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat di tempat-tempat umum untuk menuntut dan membantah perkara-perkara tertentu yang sudah menjadi tugas negara atau orang yang bertanggungjawab. Di dalam *Muzhaharah *ini, para penunjuk perasaan biasanya akan melakukan kerosakan, rusuhan, kemusnahan, membakar harta milik negara, harta umum ataupun harta individu. 2) Demonstrasi Aman (*Masiirah*)* *: iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat untuk menyokong, menuntut dan juga membantah sesuatu. Tindakan (*Masiirah*) ini tidak akan disertai aktiviti merosakkan, menghancurkan atau membakar harta benda negara, awam atau individu. Para penunjuk perasaan akan sentiasa memerhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara’, nilai-nilai Islam dan kemaslahatan umat Islam. Mereka juga akan sentiasa menjaga adab-adab sebagai orang Islam.

HUKUM DEMONSTRASI MENURUT ISLAM

Demonstrasi Liar (*Muzhaharah*)
jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Ini kerana, di dalam melakukan demonstrasi, ia disertai dengan beberapa aktiviti yang diharamkan seperti mengganggu lalu-lintas, menghancurkan, merosak atau membakar harta benda, mengganggu ketenteraman awam dan sejenisnya. Tidak kurang pula, *Muzhaharah* ini mengakibatkan rusuhan, pergaduhan, perkelahian, penganiayaan, bahkan pembunuhan. Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh Islam. Sementara itu, Demonstrasi Aman (*Masiirah*) adalah satu bentuk demonstrasi yang dibolehkan/diharuskan (*mubah*). Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia dilakukan dengan tertib dan aman, dengan memperhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara’, termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan; ia dilakukan tanpa kekerasan, tidak mengganggu lalu-lintas dan hak-hak umum, tidak membakar, merosak dan menghancurkan barang-barang milik umum, negara atau individu. Oleh yang demikian, *Masiirah* ini jelas-jelas diperbolehkan oleh Islam. Perlu difahami bahawa Islam memandang *Masiirah* sebagai salah satu *cara* (*uslub *) di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat dan* *bukan sebagai *method* (*thariqah*) di dalam melakukan proses perubahan masyarakat. [Method/*Thariqah* adalah suatu yang wajib diambil oleh umat Islam di dalam mencontohi Rasulullah. Contohnya, *thariqah* Rasulullah berdakwah secara aman dan tidak menggunakan kekerasan di dalam menegakkan Daulah Islam. Sedangkan *uslub* adalah suatu yang boleh berubah-ubah dan pelbagai sifatnya asalkan tidak bertentangan dengan hukum syara']. Apabila keadaan memerlukan, *Masiirah* boleh dan patut dilakukan dan sebaliknya jika tidak, patut ditinggalkan. Hal ini sesuai dengan hukum ke*mubah*annya. Jika kita teliti sirah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, baginda tidak pernah menjadikan dan menggunakan demonstrasi aman sebagai *thariqah*mengubah masyarakat Jahiliyyah di kota Makkah menjadi masyarakat Islam. Namun begitu, baginda pernah melakukan demonstrasi aman di kota Makkah. Peristiwa ini terjadi setelah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya berdakwah secara terang-terangan. Baginda lalu memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Ka’bah. Satu barisan dipimpin oleh Umar ibn al-Khaththab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci *La ilaha illallah *, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Ka’bah. Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut memberi arahan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengambil satu cara yang tidak pernah dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah pada ketika itu di dalam rangka menjalankan perintah Allah yakni menzahirkan Islam dengan berdakwah secara terang-terangan. *Masiirah* ini juga dilakukan oleh baginda untuk menzahirkan *kutlah* (kelompok) kaum Muslimin yang selama ini telah di*tasqif* (dibina) oleh baginda secara sembunyi-sembunyi khasnya di rumah Al-Arqam ibnu Al-Arqam. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah menghimpunkan kaum Quraish di Bukit Safa untuk menyeru kepada mereka supaya beriman kepada Allah dan menjelaskan bahawa baginda adalah Rasul yang diutus Allah kepada manusia. Peristiwa ini sangat terkenal di dalam sirah kerana ia telah menjadi asbab kepada turunnya Surah Al-Lahab di mana Allah telah melaknat Abu Lahab. Perbuatan Rasulullah di dalam menghimpunkan kaum Quraish tadi sememangnya telah dikeji dan diperbodohkan oleh Abu Lahab, dengan berkata *”Celakalah engkau wahai Muhammad, adakah semata-mata kerana ini engkau telah menghimpunkan kami?”*. Inilah kata-kata yang telah menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta’ala melaknat Abu Lahab.

Wahai kaum Muslimin! adakah kita sanggup untuk mengatakan bahawa semua tindakan Rasulullah dalam berdemonstrasi secara aman itu sebagai suatu tindakan bodoh, sebagaimana Abu Lahab? *Na’uzubillahi min zalik. Demikianlah perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan oleh Rasulullah yang menjadi petunjuk yang jelas kepada kita bahawa *Masiirah* dibenarkan oleh Islam. Peristiwa ini merupakan dalil kepada kita bahawa kaum Muslimin dibolehkan menghimpun umat manusia (samada dalam bentuk forum, seminar, *Masiirah* dan sebagainya) dalam rangka untuk menegakkan Deen Allah.

DEMONSTRASI ISLAM? VS KAPITALIS & SOSIALIS

Islam meletakkan demonstrasi aman sebagai *uslub* untuk menjelaskan aspirasi dan pendapat. Kedudukan ini amat berbeza sekali dengan pandangan masyarakat Kapitalis atau Sosialis (termasuk di dalamnya Komunis) yang menganggap demonstrasi (samada aman atau liar) sebagai salah satu *thariqah* dalam melakukan perubahan masyarakat. Bagi masyarakat kufur ini, demonstrasi adalah sebagai proses perubahan masyarakat ke arah yang mereka inginkan. Oleh karena itu, mereka tidak ada peraturan di dalam melakukan demonstrasi. Banyak sekali kejadian di mana mereka sering menimbulkan ketidaktenteraman, merosak, menghancurkan, membakar harta benda dan lain-lain bentuk kemusnahan demi mencapai matlamat dan objektif mereka. Bukti-bukti kepada perkara ini amat jelas dan banyak sekali di mana kita dapat lihat hampir setiap hari di kaca TV mahupun di dada-dada akhbar tentang demonstrasi liar yang dilakukan oleh kaum kafir ini di dalam menuntut apa yang mereka inginkan. Berlandaskan kepimpinan berfikir (*qiyadah fikriyyah*) seperti inilah, masyarakat kufur samada Kapitalis atau Sosialis membangun cara hidup mereka. Berasaskan idea ‘kebebasan’, mereka merasa berhak melakukan apa sahaja untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Dengan kata lain, kaedah yang mereka gunakan semasa berdemonstrasi ialah ‘matlamat menghalalkan segala cara’. Islam tidak mengenal konsep kebebasan sebagaimana yang dijaja oleh kafir Barat. Umat Islam bukanlah satu umat yang ‘bebas’. Umat Islam adalah umat yang ‘terikat’ dengan segala perintah dan larangan Allah. Kaum Muslimin adalah terikat dengan segala hukum-hakam, halal dan haram, baik dan buruk hanyalah semata-mata mengikut apa yang Allah telah tetapkan. Sebagaimana yang telah dijelaskan, demonstrasi liar seperti yang dilakukan oleh golongan Kapitalis atau Sosialis adalah diharamkan di dalam Islam. Islam mengharamkan menumpah darah sesama manusia kecuali dengan hak. Harta benda yang dimiliki oleh seseorang haram diambil atau dirampas oleh orang lain kecuali dengan hak. Kehormatan setiap orang haram dicabuli atau dirampas oleh orang lain. Syariat Islam menjaga ketiga-tiga perkara tersebut dengan sempurna. Mana-mana individu atau pemerintah yang melakukan pencerobohan terhadap tiga perkara ini akan dikenakan hukuman sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Islam tidak mengenal prinsip dan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ (*al-ghaayah tubarriru alĂ‚¬-wasilah*), sebagaimana yang dianuti oleh masyarakat Kapitalis atau Sosialis. Tindak-tanduk seorang Muslim samada sebagai individu atau sebahagian dari anggota masyarakat ataupun sebagai penguasa wajib terikat dengan syariat Islam. Di dalam mengungkap aspirasi atau pendapat dengan cara berdemonstrasi mahupun dalam melakukan proses perubahan masyarakat, kaum Muslimin terikat dengan apa yang Rasulullah telah tunjukkan. Demonstrasi mestilah dilakukan dengan cara yang aman.

KHATIMAH

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan oleh Allah! Merubah kemungkaran itu adalah hak dan tanggungjawab kalian, baik kemungkaran itu dilakukan oleh individu atau pemerintah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
*”Barangsiapa yang menyaksikan kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, hendaklah dengan lidahnya (perkataan), jika tidak mampu dengan qalbunya. **Itu (dengan qalbu) adalah selemah-lemah iman” * *[HR Muslim]*.

Mana-mana* Masiirah* yang dilakukan oleh kaum Muslimin di dalam mengubah kemungkaran adalah hal yang dituntut dan sememangnya sesuatu yang mulia. Tidak lama dahulu kaum Muslimin di seluruh dunia termasuklah di Malaysia melakukan *Masiirah* sebagai bantahan ke atas karikatur yang menghina Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Parti Islam SeMalaysia (PAS) beserta beberapa pertubuhan Islam lainnya dan umat Islam yang prihatin telah sama-sama ber*masiirah* membantah penghinaan yang telah dilakukan itu. *Hizbut Tahrir Malaysia* juga turut melakukan seruan di Masjid Negara mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan yang telah dilakukan ke atas Rasulullah dan mengajak umat Islam agar bersama-sama mendirikan semula Daulah Khilafah yang hanya dengannya akan ‘mengajar’ dan menghukum kebiadaban kaum kuffar tersebut. Oleh itu, tindakan-tindakan seumpama ini dan juga bantahan ke atas forum `Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan Untuk Semua’ di depan Hotel Cititel, Pulau Pinang, patut dipuji, bukannya dikeji. *Adakah kita akan sanggup untuk menyatakan bahawa kaum Muslimin yang bermasiirah demi membela Rasulullah, demi membela Deen Allah dari diperlecehkan oleh kaum kuffar sebagai suatu tindakan yang salah dan bodoh?
Betapa mulianya aktiviti amar ma’ruf nahi mungkar ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam sabda baginda. Bahkan pahala aktiviti seumpama ini boleh sebanding dengan pahala penghulu syuhada, iaitu Hamzah bin Abdul Muthallib, *”Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim, lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya.”* *[HR Al-Hakim]*.

*Wahai Kaum Muslimin! Menasihati dan memuhasabah pemimpin, institusi, organisasi, kelompok atau komuniti tertentu serta mengkritik dasar dan keputusannya yang zalim, termasuk membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam dan kaum Muslimin hukumnya adalah wajib* meskipun caranya boleh beragam; boleh dilakukan secara langsung bertemu *face to face *; atau melalui tulisan, surat, seminar, demonstrasi aman dan lain-lain. Melakukan perkara-perkara tersebut dengan cara yang dibenarkan oleh syara’ samada secara langsung maupun tidak, *adalah jelas lebih mulia* berbanding dengan tidak melakukan apa-apa, apatah lagi dari mengeji dan menghina orang lain yang melakukannya.

*Wahai pemimpin kaum Muslimin! Kalian adalah wakil rakyat yang telah dipilih untuk memimpin umat ini, bukan menyesatkannya. Kalian adalah orang yang diperintah oleh Rasulullah untuk menjadi pelindung kaum Muslimin bukan membinasakannya. Kalian adalah orang yang diamanahkan oleh Allah untuk menjaga agamaNya, bukan menghancurkannya. Umat Islam mengharapkan kalian agar melakukan perubahan, menjadi pemelihara rakyat dan pembela Islam. Umat Islam benar-benar mengharapkan kalian mengembalikan semula kehidupan Islam, mengembalikan sistem Islam, menerapkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah, menegakkan semula Daulah Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah. Jika kalian tidak melakukannya, kaum Muslimin yang benar-benar ikhlas berjuang di jalan Allah akan tetap melakukannya. Sesungguhnya balasan Allah akan pasti tiba bagi mereka-mereka yang ingkar akan perintahNya. Itulah janji Allah dan janji Allah adalah suatu kebenaran yang pasti!

*Wallahua’lam

P/S: nantikan siri kedua Demonstrasi MAHASISWA

http://ttuyup.wordpress.com

Wednesday, August 20, 2008

MUSLIMAT DAN TARBIYYAHNYA

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Dalam kebinggungan mencari jawapan untuk Lab Repot singgah sebentar di sebuah blog... Artikelnya ku kira menyejukkan hati ini. Merawat rajuk di hati sebab x ketemu apa yang ku cari.... Esok nak kena hantar, tapi xciap lagi... Xpa yang penting suka membaca artikel2 sebegini.... Gerakan Mahasiswi Unggul... Nanti musliminnya kecik hati pulak ya... Xpa2 jangan risau. Antum tetap di hadapan.
Teringat pesanan seorang sahabat nie... katanya suruh semua muslimat gerakan islam belajar memasak!! geli hati juga mendengar... Tapi itu persepsi beliau.... "pandai masak tapi xsedap... ya lah muslimatkan sibuk mana sempat nak masak". Hmmm...terima kasih atas nasihat itu.

berbalik pada artikel ini...sama-sama kita hayati....

Secara fizikalnya, batinnya, hatinya, perasaannya, tutur katanya, sentuhannya amat berbeza sama sekali dengan kaum muslimin. Selalu benar muslimah itu dikatakan sebagai sayap kiri perjuangan muslimin ataupun berdiri hebatnya seorang wira ada muslimah di sebaliknya.. Jika kena dengan cara didiknya, betul niatnya, dan beragama pula maka tenanglah dunia ini dan damailah hidup ini kerana di sebalik kejadian seorang wanita telah tersurat yang dia merupakan fitnah kepada dunia..Songsang langkahnya maka ramailah yang terjerat, salah niatnya maka ramailah yang merana..


Lembut bukan bererti lemah


….tangan yang lembut menghayun buaian boleh menggoncang dunia…..


Barangkali muslimat gerakan kampus ( yang belum mempunyai anak sendiri ) belum lagi merasakan bagaimana yang dimaksudkan atau apa keadaannya daripada menghayun buaian kepada menggoncang dunia..Menghayun buaian di sini bukanlah diertikan sebagai ‘post’ babysitter yang mendodoikan si kecil agar segera melelapkan matanya, bukan juga menyusukan atau memberikan si kecil makan tetapi melebihi daripada itu.


Dia dilihat sopan menghayunkan langkah, kadang-kadang sekali-sekala melihat mentari luar. Dia adalah seorang suri dan juga seorang ibu bukan sekadar kepada anak-anak tetapi juga seorang pendidik kepada pemimpin dunia! (Isk, ada kalanya, jangan dilihat zahirnya sahaja, kadang-kadang muslimat yang tegas dan garang yang itulah sebenarnya muslimah yang halus dan lembut…lepas kahwin baru tahu…..! )


Didikan untuk muslimah

Muslimat merupakan sayap kiri perjuangan…dia mesti dididik ke arah itu. Tatkala kawan-kawan wanita yang lain berperap di dalam bilik mengulangkaji pelajaran, atau juga ketika mereka selalu pulang ke rumah untuk menjalankan amanah kepada keluarga, atau juga ketika mereka menjadi puteri lilin yang sangat menjaga penampilan diri daripada habuk kotoron,pancaran matahari dan sebagainya, tetapi ini jauh berbeza dengan muslimat kita yang betul-betul berjuang.


Mereka menguis jauh keinginan itu, mereka memendam rasa dalam perkara itu, mereka tidak mengutamakan perkara lain melainkan rasa kuat ingin berjuang dan bersusah payah dan berpenat lelah di belakang perjuangan muslimin. Namun dalam masa yang sama mereka tetap mencari ruang seberapa yang ada untuk urusan itu, bukan kosong semata-mata…


…” ana tak kisah enti, berjuang macam mana pun,di posisi manapun, jadi menyapu sampah pun..kalau tugas menyapu sampah itu boleh menjadi asbab kemenangan Islam ana rela melakukannya…” bisik seorang sahabat muslimat suatu ketika…


Ainul mardhiyyah..seharum kuntuman di taman syurga…

Bisakah dicari di dunia ini sepertinya lagi…?


Sahabat- sahabat muslimat sekalian,


Tahu kisah Ummu ‘Imarah yang mulia itu?Ummu ‘Imarah (Nusaibah) zaman sekarang mungkin anda sekalianlah…Beliau merupakan pejuang muslimah sulung dalam Islam…

Imam Al-Zahabi pernah menyebut : “ Ummu ‘Imarah yang mulia adalah seorang mujahidah, ikut serta menyaksikan Bait’at Al-‘Aqabah, Perang Uhud, Perang Al-Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah.


Aduhai muslimat, nak cakap hebatnya Ummu ‘Imarah ni beliau bukan sahaja memberikan minuman dan merawat pejuang muslimin yang haus dan yang tercedera ketika perang Uhud tetapi beliau berani menghunus pedang sambil memakai perisai perang untuk menjadi back up tentera muslimin yang ketika itu ramai yang telah syahid dan lari setelah diasak tentera musuh..Ummu ‘Imarah juga telah melindungi nabi kita, Rasulullah SAW daripada pihak musuh sepanjang keadaan genting itu sehinggakan Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “ Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku melihat Ummu ‘Imarah berperang di hadapanku” … MasyaAllah..Subhanallah… Segala puji hanya bagi Allah…



Hebat berperang memang Ummu ‘Imarah hebat tetapi beliau juga berusaha untuk mengusai ilmu agama kerana antara ahli ilmu dan ahli ibadah ternyata ahli ilmu lebih ditakuti oleh syaitan kerana mereka bukan golongan yang mudah dihasuti… Mereka beribadah atas dasar ilmu dan kefahaman….Yea, Ummu ‘Imarah juga telah menunjukkan selain mantap di medan peperangan tetapi beliau juga memahami Al-Quran setanding hebatnya beliau ketika berperang..Seperti yang diriwayatkan dalam sebuah kitab yang berjudul ‘nisa’ min ‘asadul nubuwwah hasil tulisan Abu Azka Al-Madani dan Harun Ar-Rasyid Hj Tuskan yang menceritakan tentang peristiwa ini. Suatu ketika Ummu ‘Imarah datang menghadap Rasulullah SAW sambil berkata …’Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat kaum wanita disebut di dalam Al-Quran sebagaimana halnya kaum lelaki’… Maka turunlah firman ALLAH SWT yang bermaksud : ‘Sesungguhnya lelaki muslimin dan perempuan-perempuan muslimah, lelaki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukminah…’(Surah Al-Ahzab : 35 ).


( Mungkin kita perlu katakan kepada muslimat kita yang bertungkus lumus dalam gerak kerja Islam di kampus sebagai muslimah obor perjuangan…ini sebagai ganti kepada ayat tangan yang menghayun buaian itu tadi. Namun pepatah menghayun tadi perlu dipegang sekuat-kuatnya oleh muslimat kerana kita perlu ‘menghayun buaian’ juga suatu hari nanti…InsyaAllah… )





Persediaan


Bonda kepada Imam Al-Ghazaali telah melakukan persediaan sekian tahunnya sebelum melahirkan seorang anak yang menjadi cahaya dalam Islam…itu tidak termasuk lagi amalan sepanjang mengandung yang menjadi bayangan kepada anak yang bakal dilahirkan nanti.


Duhai muslimah…. Untuk mendapatkan generasi yang memahami agama yang sebenarnya dan menghafaz kalamullah ini juga datangnya daripada ibu yang mengandungkannya. Jika bonda para ilmuan Islam dahulu telah melakukan persediaan melebihi hampir 20 tahun sebelum melahirkan seorang anak cuba kita hitung dengan umur kita sekarang.Sekiranya anda sudah berumur 22 tahun adakah anda patut bersalin ketika berumur 42 tahun?atau sepatutnya anda sudah melakukan persediaan itu seawal usia kanak-kanak yang mumayyiz lagi….? Kita renungkan bersama.


Wanita yang Faqih dan Al-Hafizah


Antara wanita yang mulia yang banyak menghafaz hadith NABI SAW ialah Ummu ‘Athiah. Hafalannya cukup bagus dan beliau sering berusaha untuk mendalami ilmu agama. Imam Nawawi telah berkata bahawa telah diriwayatkan dari Ummu ‘Athiah hadith yang diriwayatkannya daripada Rasulullah SAW adalah sebanyak 40 hadith. Enam hadith yang sama telah diriwayatkan bersama Bukhari dan Muslim dalam buku mereka. Satu hadith yang tidak sama masing-masing diriwayatkan mereka berdua 1


Ayuh akhowat sekalian… tidak pernah mendapat pentarbiyyah sekolah agama atau latar belakang keluarga yang bukan islamik bukan sebab untuk kalian dan diri ini daripada tidak faqih tentang ilmu agama..dan usahlah sekali-sekali perkara ini menjadikan kita bersifat rendah diri untuk bersuara atau membidas pendapat orang lain sekiranya perlu. Malu? ye. Mungkin betul tetapi jika niat kalian untuk mencari redha Sang Pencipta pasti akan terpecahlah tembok itu.


Sehari selembar benang…lama-lama jadi kain..Sehari hafaz satu ayat lama-lama lengkap satu surah..InsyaALLAH boleh.


Untuk mendalami ilmu agama bagi menyempurnakan tarbiyyah fardhi sangat-sangat dituntut dalam Islam.Walaupun ia jatuh kepada sunat muakkad mengikut setengah pendapat, namun mencari ilmu itu wajib. Sebelum kita pandai sembahyang sudah tentu kita menuntut ilmu tentangnya.Sebelum kita pandai buat blog,tentu kita belajar mengenainya…bahkan sebelum kita ke Petaling Jaya dari arah Serdang tentu menuntut kita bertanyakan orang arah tujunya walaupun papan tanda jelas ‘berterbangan’ dipandangan mata. Ilmu ini banyak seperti ilmu akademik yang antara contohnya fizik,kimia,biologi, matematik dan sebagainya atau ilmu khusus bidang agama yang menjurus kepada seluruh kehidupan ini.. Tetapi,bukanlah niat untuk menyatakan ilmu ini sekular atau terasing antara satu sama lain


Apa salahnya mencari ilmu tanpa henti.Datang ke majlis ilmu sebanyak mungkin dan sesempat mungkin.Fitnah jika keluar rumah sudah tidak berlaku pada zaman sekarang bahkan ramai muslimat keluar rumah untuk melaksanakan kewajiban dan memenuhi tuntutan. Mereka dilihat keluar untuk bekerja, mnuntut ilmu, ke pasar, rumah saudara bahkan ke masjid atau surau secara berjemaah. Di masjid, surau, fakulti, pondok, usrah, blog atau buku.. Ye,buku. Pelbagaikanlah buku dan sumber rujukan. Sebolehnya bukan kita sekadar membaca buku tetapi menelaah..bukan sekadar memahami tetapi menjiwai..dan bukan sekadar mengingati bait-baitnya yang indah tetapi mengupas. Jika dapat, mintalah para murobbi mengupasnya..


Terkenang pula kepada arwah kak Shafa yang kuat menghafaz Al-Quran…..


Penutup



Lembut tuturmu tegas membela agama..

Gagah berani tiada tandingnya..

Mulia akhlakmu didikan rumah kenabian…

Menyintainya adalah suatu ‘ibadah..

Puteri kesayangan Rasulullah …



Muslimah gerakan hari ini bukan tak hebat, bukan tak kuat, bukan tak mantap tetapi kita tak cukup menguatkan antara satu sama lain lagi... Ramai antara kalian yang tinggi mujahadahnya, unggul dalam bait al-muslimnya, maju mendepani masalah ummahnya, tinggi pengorbanannya..Namun berapa ramai yang mampu bertahan dan istiqomah sehingga ke hujung nyawa. Berapa ramai pula yang mampu melahirkan dan mendidik generasi pembela agama? Untuk melahirkan muslimah yang tegar tarbiyyah, kuat kakinya dalam perjuangan, tabahnya melalui saat-saat kesunyian dan cekal memikul amanah sayap kiri perjuangan sedangkan kita mempunytai had – hadnya, batasannya dan terciptanya kita daripada tulang rusuk kiri kaum adam memerlukan muhasabah dan persediaan yang cukup rapi dan perbincangan yang matang. Memang wanita dikenali sebagai golongan yang halus hatinya, teliti pemikirannya dan sarat dengan emosi malah cepat mengalir air matanya tatkala berhadapan situasi yang menyentuh hati tetapi katakanlah kepada diri yang kita akan banyak menangis di tikar sejadah…tak mudah untuk tersungkur lemah tetapi cepat sujud mengharap kekuatan hanya daripada-NYA…


Demi Allah Yang Maha Esa,

Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah

untuk menuju cinta-Mu,

Menitis air mata, tatkala merindu,

Menitis air mata, tatkala semakin menjauh,

Tetapi janji Allah tetap segar dan mekar

tanpa pengkhianatan,

Kerana ku tetap yakini,

Allah menyatakan "Wajiblah cintaku kepada oran-orang yang berkasih sayang kepada-Ku"


Nukilan :

CAHAYA_PENYAIR


Nota : cara penyampaian ini mungkin tak berapa kemas dan isi kurang jelas.Namun akan diubah baik tak berapa lama lagi.


Nota kaki ;

1 Tahzab Al-Asma wal-Lughat(2/364)

sumber: http://dairytarbiyah.blogspot.com

Tuesday, August 19, 2008

PRK MEDAN LAPANGAN TARBIYYAH



Sedikit masa lagi, setiap kampus akan menghadapi bahang Pilihanraya Kampus (PRK). Sesi kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sedia ada bakal bertukar wajah lagi. Golongan manakah yang akan mencorakkan perjalanan pentadbiran dan politik kampus yang seterusnya? PRK pada kali ini dijangka menghidangkan pelbagai episode siasah yang lebih mendebarkan lagi berikutan ‘tsunami politik’ yang telah melanda negara pada PRU ke-12.

Pastinya setiap pakatan mahasiswa yang akan bertanding sedang bersiap sedia mengukuhkan armada perang masing-masing, mencatur strategi siasah serta bersedia menghadapi suara dan pilihan pelajar. Semua pihak akur bahawa tidak mudah bagi pro-mahasiswa menyusun gerak dan memperlengkapkan jentera untuk berdepan dengan pihak lawan. Mood massa yang sering tidak menentu menjadikan alasan, kemenangan adalah suatu teka-teki.

Namun, apa ingin saya ketengahkan di sini bukanlah mengenai persiapan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh jentera PRK masing-masing. Tapi, sejauh manakah situasi PRK mampu mengisi agenda pentarbiyyahan di peringkat kampus? Kita tidak mahu partisipasi dalam PRK sekadar tidak mahu memberi kemenangan percuma kepada pro-aspirasi atau kita mahu ‘menang dengan bergaya’. Kita yakin, ada ruang yang perlu dimanfaatkan untuk menggerakkan pelan pertarbiyyahan mahasiswa melalui penglibatan dalam PRK.

Pendidikan Ruhiyyah

Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan, iaitu jasad dan roh. Membina roh aktivis mahasiswa adalah dengan memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, taat dan maksiat, syurga dan neraka, hisab dan matlamat akhirat serta izzah dan ‘ujub. Kita mendambakan aktivis yang membayangi keperibadian tentera Islam acuan Rasulullah, bagaikan rahib di malam hari dan singa di siang harinya.

Pendidikan Jihad

Sesungguhnya gerakan mahasiswa mendidik anggotanya menerusi jalan jihad untuk menjadikan gerakan itu lebih kuat dari segala ‘pertubuhan peruntuh’ dan lebih waja dalam menghadapi kegiatan taktik serangan dan tipudaya. Kita mahu aktivis kita membiasakan diri mereka dengan mengetahui kadar yang diperlukan bagi berhubung dengan hal ehwal pergerakan dan pertubuhan. Kita juga mahu membiasakan diri dengan memperhalusi gerak kerja dan perjanjian masa. Dan, kita mahu membiasakan diri menanggung keadaan-keadaan susah seperti berkasar pada makan minum, tempat tidur, pergaulan dan perbelanjaan. Ini kerana, dalam fasa PRK kita terpaksa melalui lebih banyak detik-detik kesusahan berbandingan kesenangan.

Pendidikan Siasah

Dalam rangka konsep ini, kita cuba memuatkan prinsip siyasah syar’iyyah yakni menghasilkan nilai amalan dan aktiviti siasah menurut Islam untuk memperbetulkan mindset mahasiswa terhadap manhaj politik Islam yang sebenarnya. Kita meyakini bahawa keadilan hanya dapat dicapai melalui system yang betul dan kita mahu mengembalikannya kepada peraturan yang sebenar meskipun hanya dengan memanipulasikan pentadbiran kampus.

Kita mahu mewujudkan situasi yang lebih dinamik dan kondusif dalam PRK berbanding hari-hari biasa kita sebagai mahasiswa yang hanya mengelek buku-buku akademik, menghadapi suasana tempat belajar yang terlalu selesa serta menghadiri kelas-kelas dan seminar akademik. Kita mahu memperkenalkan dan mendidik aktivis kita mengenai strategi dan adab-adab ‘peperangan’ dengan cara menyediakan prasarana yang setaraf dengan level mahasiswa.

Keringat aktivis mahasiswa wajar digembleng secara terancang bagi mencapai matlamat yang diimpikan. Tanpa pengorbanan yang besar, impian hanya layak menjadi mainan tidur sahaja.

Alangkah tepatnya jika pelan pentarbiyyahan mahasiswa berjaya dirangka dengan teliti dan mampu membuat pengisian-pengisian secara berkesan dalam menghadapi ‘zon kritikal’ pada semester ini. Semoga PRK pada kali ini bakal mendokong suara perubahan yang lebih besar dalam sejarah gerakan mahasiswa Malaysia. INSYAALLAH…

“Jika mereka mempunyai tentera yang seribu, bersama kita Allah Yang Satu”

sumber: http://dairytarbiyah.blogspot.com

SISWA DESAK HAPUS AUKU

Gerakan Mahasiswa semakin hari semakin lantang menyuarakan pendapatnya. Tidak mahu lagi berada di takuk lama. Asyik menjadi robot seolah-olah bahan uji kaji yang tidak pernah selesai. Inilah zaman perubahan. Keberanian mahasiswa mula terserlah. Jiwa-jiwa kental seperti ini kita perlukan untuk memacu Malaysia suatu hari nanti. Perjuangan bukan sekadar perjuangan tetapi disandarkan pada keimanan dan keyakinan yang tinggi pada ALLAH sebagai syarat utama.


NASIONAL Siswa desak hapus AUKU


KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 mahasiswa daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta yang menggelarkan diri mereka Gabungan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) berhimpun di luar pintu Parlimen semalam, mendesak Kementerian Pengajian Tinggi memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Mereka yang memakai baju berwarna hitam sambil membawa sepanduk ‘Akta Untuk Kuburkan Universiti’ dan ‘GMMA Bantah Pindaan Kosmetik AUKU’ mula berarak dari Tugu Negara menuju luar pintu Parlimen pada jam 9.15 pagi.

Perhimpunan diketuai Koordinator GMMA, Ridzuan Muhammad bersama kumpulannya yang mahu menyerahkan memorandum setebal sembilan muka surat berhubung perkara itu kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, berlarutan sehingga dua jam.

Mereka yang dikawal polis, bersurai apabila Ridzuan dibenarkan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron di lobi Parlimen.

Sementara itu Idris berkata, pindaan AUKU itu akan dibahaskan di Parlimen dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira pandangan golongan mahasiswa.

Tapi aku masih di sini. Kenapa langkahan ku tersekat. Adakah diriku terus memberikan alasan tanpa berubah??? Mestikah aku menjadi diriku sendiri.. atau aku harus menjadi seperti yang semua inginkan?? Adakah aku tidak memahami fiqh aulawiyyat??? Adakah aku terlalu mementingkan diri sendiri?? Adakah aku terlalu memandang benda yang kecil?? Sedangkan hakikatnya benda yang besar nak di capai.... Aku keliru dengan diriku... Antara 2 mana yang satu harus ku pilih??? Mestilah nak ku tempuh kedua-dua sekali... Antara luar dan dalam.... ARGGGGHHHHHHHHHHH... keputusan harus cepat dibuat.....

Pernah ku nyatakan pada seorang adik nie..." Akak nak tumpu pada yang luar laa dik..."Jawapannya walaupun selamba ja bisa menikam kalbu ku... " Buang semua yang dalam jantung, hati...organ...." Aku terkesima, betul juga katanya... Aku keciwa lagi amar makruf nahi mungkar dalam kampus tidak mampu aku jalankan sebaik mungkin walaupun dengan kuasa sebagai Majlis Perwakilan Pelajar....

Hmmmm..sedang mencari ilham dan kekuatan agar ku teruskan perjalanan ini.. Ya ALLAH bantulah hambaMU ini....

Thursday, August 7, 2008

HARAPAN

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tidak lama lagi Universiti Sains Malaysia akan melahirkan graduan-graduan kali ke-38. Rupa-rupanya dah ramai anak didik USM di saentero Malaysia. Masih berbaki 3sem, harapannya agar dapat perform dengan lebih baik. Kepada kakak2 dan abang2 yang akan grad tak lama lagi... sedikit kata-kata yang mampu ku tuliskan ilham dari DIA yang Maha Pencipta.Doakan kami di sini ya!!!

HARAPAN

Berakhirlah sudah berjuanganmu di Bumi USM ini…
Setelah berhempas pulas dengan segala kudrat yang ada
Membahagi masa antara tuntutan akademik dan `kerja`
Bagi memastikan sebuah kejayaan kekal milikmu...
Tahniah ucapan ikhlas dari kami semua!
Tanah Minden yang tercinta ini...
Banyak mengajarmu erti kehidupan
Meniti kematangan
sebagai seorang `insan luar biasa`
Dan di sini lah kau membesar dengan Tarbiyyah Islamiyyah
Yang mendidik jiwa semakin akrab dengan Pencipta
Sebagai bekalan perjuangan di luar sana…
Di sini jua terjalinnya Ukhwah Islamiyyah sesama saudara
Pasti kenangan itu akan abadi selamanya
Akhi dan ukhti yang kami kasihi kerana Allah,
Harapan kami
Semoga antum terus istiqamah dengan jalan Allah ini
Tabahlah menghadapi mehnah dan tribulasi
Gelombang cabaran di luar lebih kuat dan maha hebat
Cekalkan hatimu wahai sahabat…..
Ingatlah janji Ya Rabbi yang tak akan mengecewakan
Doakan kami di Bumi Miden ini,
Terus berjuang tanpa mengenal erti penat
Berlandaskan syariat bagi mencapai matlamat
Doakanlah supaya `biah solehah` mampu kita laksana,
Dengan kepimpinan yang bijaksana
Kehilanganmu tentu terasa kekosongan hati ini
Tetapi kata pepatah
“Patah Tumbuh Hilang Berganti”
Sedaya mungkin cuba mengubati
Semoga bertambahnya kuantiti dan
meningkatnya kualiti para tentera Ilahi
Terima kasih atas segala jasa baik dan pengorbananmu!!!
Semoga Allah merahmatimu….
Dunia & Akhirat