Sunday, February 8, 2009

PERANAN LATIHAN INDUSTRI

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pentingnya latihan industri/latihan mengajar untuk semua mahasiswa membawa kita ke dunia realiti yang sebenar. Alam kampus hanyalah latihan dan fantasi semata-mata. Berada di dunia luar yang penuh pancaroba dilihat mampu mematangkan pemikiran mahasiswa, membentuk peribadi yang lebih unggul sebagai aset terpenting masa hadapan negara. Selain daripada itu, peranan LI/LM dilihat menyediakan mahasiswa untuk berhadapan dengan cabaran dan dugaan sebagai seorang manusia.

LI/LM akan membawa mahasiswa berada di segenap lapisan masyarakat. Menjadikan mahasiswa untuk lebih tekun memerhati dan memahami erti hidup ini berdasarkan pengalaman dan kisah hidup insan di sekeliling mereka. Untuk itu menjadikan mahasiswa ini seorang individu yang berhati-hati dan berwaspada dalam hidupnya.

Berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat, sebagai contoh golongan yang berpendapatan rendah atau dikategorikan sebagai golongan susah. Yang mana ada yang terpaksa mengorbankan peluang untuk melanjutkan pelajaran semata-mata untuk membela nasib keluarga, mencari sumber rezeki bagi meringankan bebanan ibu bapa, memberi peluang kepada adik-adik mereka untuk meneruskan pengajian sedangkan potensi diri sangat besar dalam diri mereka.

Ada juga yang sanggup melakukan pekerjaan yang berat-berat sedangkan usia sudah pun menginjak separuh abad bagi mencari sesuap nasi. Setiap benda di dunia ini memang sudah ditakdirkan berpasangan. Jika ada golongan susah pasti akan ada golongan senang. Golongan senang pula boleh dibahagikan kepada dua. 1- golongan senang yang membantu orang lain. 2-golongan senang yang menindas orang lain. Dengan menjalani zaman praktikal ini, mahasiswa akan mampu berfikir dan meneladani sikap yang baik dan membuang jauh-jauh sikap sesetengah individu yang mementingkan diri sendiri.

Dalam dunia realiti sebenar, masalah rasuah adalah salah satu benda yang merebak sehingga ke peringkat bawahan. Pendidikan tentang korupsi harus diberikan kepada semua golongan agar jenayah ini dapat dibendung. Selain daripada itu, perasaan hasad dengki sesama manusia sememangnya berlaku dan hanya dengan berfikiran positif dan senantiasa memotivasikan diri terhadap kelebihan individu lain sahaja mampu menjadi pengubat yang paling mujarab.

LI/LM akan mendedahkan kita tentang rahsia dunia yang sebenar, mempelajari tentang rahsia rumah tangga, mendidik anak, membahagi masa antara kerjaya dan keluarga jika bersama mak cik-mak cik, berbisnes, mempromosikan perniagaan, mengurus akaun, mengurus sumber manusia- jika berada bersama golongan kerja di pejabat. Selain itu, mengurusi masalah cinta dan keluarga jika bersama dengan golongan muda mudi. Semuanya merupakan pelajaran yang sukar diperolehi jika hanya membekukan diri di kampus.

Mahasiswa wajib mempraktikkan segala teori yang dipelajari di alam kampus dan harus bertindak untuk menjadi agen perubah demi mendapatkan bangsa Malaysia yang mindanya kelas pertama. Dan yang paling penting mahasiswa menjadi role model dan contoh ikutan kepada semua golongan kerana masyarakat amat menyanjungi mahasiswa. Rugi benarlah jika seluruh masa semasa LI/LM dihabiskan begitu sahaja. Didiklah anak bangsa kita, selamatkanlah mereka.....

MAHASISWA AGEN PERUBAH NEGARA!!

1 comment: