Monday, June 30, 2008

SURAT TERBUKA

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini tercipta lagi satu sejarah dalam kehidupan sebagai MPP... Bukan untuk meraih simpati sesiapa... tetapi untuk memperjelaskan keadaan yang selama ini berlaku. Biarlah semua orang tahu..Agar terbuka sedikit pintu hati untuk menilai yang mana yang haq dan mana yang batil... Mungkin ada yang tidak akan senang duduk selepas ini...Semoga mereka sedar dan kembalilah ke jalan yang benar..

Surat terbuka: DISKRIMINASI TERHADAP MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
PRO-MAHASISWA USM

Majlis Perwakilan Pelajar USM sidang 2007/2008 telahpun menjangkau 9 bulan hayatnya. Pelbagai program yang hebat dan antarabangsa telah pun dibincangkan dan dirancang penuh berstrategi sejak awal memegang tampuk pemerintahan pelajar. Namun, sehingga kini, tiada satu pun projek tersebut seperti Persidangan Mahasisiwa OIC, Apprentice, road tour untuk memperkenalkan USM ke seluruh Malaysia dan sebagainya yang berjaya tetapi sebaliknya hanya tinggal kenangan. MPPUSM yang diterajui oleh Mohd Shukri Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Che Mat hanyalah sebuah badan yang indah khabar dari rupa. Khabar angin yang mengatakan mereka ‘pak turut’ kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar telah dibuktikan sekali lagi di hadapan mata kami barisan pro-Mahasiswa (pro-M) yang diwakili oleh saudara Mohd Azhari, Nur Mastura, Siti Rogayah, Nurul Izzati dan Nor Harizam. Sehingga ke hari ini, setiap portfolio masih tidak mendapat senarai bidang tugas yang sebenar. Walaupun telah diminta beberapa kali, 3 orang NYDP induk memberi alasan tidak pernah dapat duduk bersama untuk membincangkan dan menetapkan tugas setiap portfolio masing-masing kerana terlalu sibuk. Ini merupakan alasan yang tidak dapat diterima sama sekali. Projek-projek yang berjaya dijalankan pun hanyalah projek tradisi yang diberikan oleh pihak HEP untuk membantu menjaga nama MPP seperti Persembahan Amal membantu mangsa banjir , Convex, Minggu Suai Kenal, NRIC, dan Program Jati Diri di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Sepanjang bergelar YB muda setelah 9 bulan ini, tiada satu pun peluang yang diberikan oleh pihak MPP aspirasi kepada pro-M untuk menjalankan tugas dan amanah mereka sebagai perwakilan pelajar kecuali melantik Mastura sebagai pengarah projek untuk Persembahan Amal yang berkonsepkan hiburan. Selain daripada itu, pro-M sama sekali tidak diberi peluang melaksanakan projek walaupun sebagai AJK biasa. Kisah diskriminasi ini bermula sejak awal perlantikan Majlis Tertinggi lagi di mana 2 calon umum pro-M disingkirkan dari memenuhi kerusi teratas. Sebelum malam pengundian bermula bersama dengan TNC HEP, pihak pentadbiran yang diketuai oleh En. Nazru Ismail telahpun memimpin perjumpaan dengan semua MPP Aspirasi termasuk yang datang dari kampus cawangan transkrian di Desasiswa Aman Damai. En Nazru masih sempat berpesan supaya tidak memberi peluang kepada pro-M untuk menang sebarang kerusi yang dipertandingkan pada malam tersebut. Apabila malam perlantikan rasmi yg sebenar tiba, para ‘pelakon’ Aspirasi cekap sekali berperanan. Semua nama yang telah dibincangkan pada malam sebelumnya telah naik dengan mudah walaupun ada satu kerusi dipertandingkan. Walau apapun, tahniah diucapkan atas lakonan mantap MPP Aspirasi kesemuanya. TNC HEP sama sekali tidak tahu menahu tentang agenda hitam tersebut. Beliau berada di Kelantan ketika itu.

Pihak pro-M pasrah dengan ketentuan ini kerana bukan jawatan yang kami kejar. Namun, kekecewaan tetap bertandang kerana konspirasi menjatuhkan MPP pro-M telah dirancang oleh En. Nazru selaku Ketua Penolong Pendaftar di HEP. Apabila kekecewaan ini dilontarkan di dalam Berita Kampus (BK), En Nazru segera mengadakan perjumpaan tergempar pada malam BK diterbitkan. Siti Rogayah telah diberi amaran supaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai MPP bukan mencari lagi kesalahan YDP dan Aspirasi yang lain. Semua pro-M menerima dengan hati terbuka.

Setelah peristiwa itu berlalu, timbul pula satu penindasan lain. MPP pro-M sengaja tidak dilibatkan dalam Program Jati Diri yg diadakan di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang menjadi acara tahunan USM. Alasan mereka, MPP tidak tahu kerana yang menguruskan program ialah Sekretariat Sukarelawan USM. Namun, yang menjadi kehairanan, jika MPP tidak tahu dan terlibat secara langsung, mengapa Penolong Exco MPP pula yang dijadikan fasilitator? Pro-M sendiri mengetahui mengenai program ini daripada mulut Penolong Exco (PE) yang terlibat, bukan diberitahu sendiri oleh MT MPP yang lain. Lebih parah lagi apabila pelajar dari kampus cawangan Kubang Kerian Kelantan dan Transkrian juga turut terlibat. Jika mereka mengatakan kekurangan fasilitator, mengapa kami yang sedia menawarkan diri ini dianaktirikan?

Penindasan seterusnya berlaku dalam pengurusan program National Research and Innovation Competition (NRIC) dan Convex di mana tiada seorang pun daripada pro-M yang dilantik menjadi AJK sedangkan pelajar yang bukan PE MPP pun boleh menjadi sebahagian daripada Majlis Tertinggi program. Kami terhimpit dalam dilema, bagaimana agaknya MPP pro-M boleh menjalankan tanggungjawab seperti yang disarankan oleh En. Nazru jika tiada secebis peluang pun yang diberi? Pada akhirnya, keluar pula berita mengatakan MPP pro-M tidak tahu dan malas buat kerja. Sungguh ‘adil’ bumi USM ini.

Isu NRIC dan Convex dibiarkan begitu saja oleh pihak pro-M kerana mereka ingin memberi fokus kepada projek lestari yang telah diilhamkan sejak sebelum cuti antara sidang bermula lagi. Kertas kerja Perkampungan Lestari telah dihantar kepada Dr. Izham oleh Pengarah Projek, Siti Rogayah Bahari. Setelah itu, pada awal cuti antara sidang baru-baru ini, sebahagian MPP termasuk YDP dan tiga orang pro-M telah mengikuti kursus “Sustainability Leadership” yang dianjurkan di Taiping. Di sana kami dikejutkan oleh gelagat YDP MPP yang sanggup memakai gelang bertulis BARISAN NASIONAL berwarna biru dan putih, gelang oren yang terdapat lambang kati berwarna biru dan juga gelang gegar U berwarna merah. Tindakan berani Che Mat tersebut benar-benar mengecewakan kami kerana jelas sekali beliau sendiri yang melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 Seksyen 15 (Bahagian III) yang berbunyi “Tiada sesiapa jua,semasa menjadi pelajar universiti,boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati, atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau sebagai menyatakan sokongan atau simpati dengan mana-mana pertubuhan,badan atau kumpulan orang yang haram.” Nampaknya Che Mat sendiri yang merendah-rendahkan kewibawaannya sebagai tunggak pimpinan mahasiswa universiti yang terbaik di Malaysia ini. Kekesalan tersebut kami pendamkan demi menjaga nama baik Che Mat walaupun mengikut undang-undang sebenar,beliau boleh kami dakwa di bawah AUKU.

Setelah selesai mengikuti kursus ‘Sustainability Leadership’, kertas kerja yang sama telah diubahsuai semula mengikut persetujuan di dalam program tersebut oleh pengarah projek asal juga. Setelah kertas kerja itu dibincangakan oleh Che Mat, Rama, Mariati dan Izzati(pro-M) bersama Dr. Zainal, terdapat pemurnian yang perlu dibuat padanya. Dan sekali lagi Siti Rogayah memerah idea untuk membuat penambahbaikan padanya. Setelah dua minggu kertas kerja baru dihantar kepada Dr Zainal dan Che Mat, tibalah masa untuk membuat ‘follow up’. Namun, kehadiran pengarah projek bersama Mastura selaku SU projek ke bilik Dr. Zainal tidak disenangi oleh Che Mat. Entah dari mana dia tahu kami ingin bertemu dengan Dr. Zainal tepat pada waktunya. Namun, oleh kerana Siti Rogayah meletakkan telefon bimbitnya dalam mod senyap, dia tidak sedar ada panggilan dan sms daripada Che Mat. Setelah puas berbincang dengan Dr. Zainal dan mendapat lampu hijau untuk menjalankan projek, barulah telefon bimbitnya dibuka dan dia menyedari ada mesej daripada Che Mat yang berbunyi
“Aslkm. Harap maklum. Sbrang projek atas nama mpp, prlu dpt kelulusan MT. Anda bukan pengarah projek minggu lestari, x perlu jmpe Dr zainal utk bincang ape2.tq.” –Mpp Che Mat, 26-Jun-08, 11.28 pagi

Lalu, Pengarah Projek mengambil inisiatif untuk bertemu dengan Che Mat dan berbincang dengannya pada hari yang sama. Oleh kerana tahu akan kesibukannya dengan PPMS, maka pengarah projek meminta Che Mat sendiri yang menetapkan masa untuk berjumpa. Setelah kami dalam perjalanan, tiba-tiba Setiausaha MPP menghantar mesej mengatakan Che Mat pesan suruh beritahu tidak jadi jumpa pada waktu itu dan ditunda ke esoknya kerana beliau ada hal. Mengapa beliau batalkan pada saat-saat akhir? Dan mengapa Mariati yang merupakan Setiausaha MPP pula yang perlu memaklumkan kepada pro-M sedangkan perjanjian dibuat hanyalah antara pro-M dan beliau secara peribadi sahaja? Cubaan untuk menghubungi Che Mat sendiri yang seterusnya hanya menemui kegagalan. Sungguh hebat pemimpin mahasiswa USM sidang 2007/2008 ini. Pada pendapat kalian, wajarkah tindakan YDP tersebut?

Terkini, maklumat yang diterima oleh pro-M mengatakan Setiausaha MPP sendiri merupakan pengarah projek lestari itu. Cantik sungguh permainan mereka. Jikalau benar projek itu tidak mendapat kelulusan dari MT, mengapa tidak dari awal lagi YDP memberitahu pengarah asal supaya tidak meneruskan usahanya memurnikan kertas kerja tersebut sedangkan dia sudah sedia maklum mengenai AJK pelaksana program lebih dari sebulan yang lalu. Salinan kertas kerja juga telah diberikan khas kepadanya. Kalaupun ditakdirkan beliau tidak dapat menghubungi pengarah, mengapa tidak disampaikan saja pesanan kepada Izzati yang ada bersamanya ketika berjumpa dengan Dr. Zainal dua minggu sebelumnya? Adakah terlalu susah dan sibuk untuk menghantar hanya 1 sms memberi arahan berhenti daripada usaha tersebut? Mengapa selepas berpenat-lelah memurnikannya, beliau baru tiba-tiba muncul dan menegah hak pro-M terhadap projek tersebut? Adakah Che Mat ingin memberitahu kami bahawa kelompok Aspirasi memang tidak tahu membuat kertas kerja dan mengharap untuk ‘mencurinya’ daripada pro-M? Sebenarnya dalam program lestari ini, walaupun dirancang oleh pro-M, pihak kami sama sekali tidak menafikan hak Aspirasi. Timbalan Pengarah sendiri ialah dari kalangan mereka.

Selain itu, rasa pelik terus menerus menerjah ruang fikiran apabila Che Mat yang terlalu sukar dihubungi selama ini oleh saudari Mastura dari pro-M untuk urusan projeknya iaitu “city survival training” boleh tiba-tiba muncul kembali untuk menghalang Siti Rogayah daripada berjumpa dengan Dr. Zainal. Che mat seolah-olah mengelak daripada melancarkan perjalanan projek Mastura dan pada masa yang sama cuba menyekat pula projek yang sudah dipetik suisnya oleh Siti Rogayah. Pro-M teraniaya, benar-benar teraniaya.

Hanya beberapa hari selepas itu, berlaku pula penindasan lain yang sedang dilakukan oleh MPP Aspirasi USM kepada pro-M apabila mereka tidak diberi ruang untuk menjadi PPMS. Apabila ditanya adakah pro-M terlibat menjadi PPMS, jawapan yang diberikan “mereka takmahu terlibat”. Apabila berhadapan dengan kami mereka memberikan alasan lain pula iaitu, MPP sendiri perlu melalui sesi temuduga sedangkan MPP Aspirasi secara automatik layak menjadi PPMS. Penghulu PPMS kali ini tidak lain dan tidak bukan pastilah YDP MPP sendiri. Jika dikatakan semua mpp perlu menjalani sesi temuduga, mengapa terang-terang YDP MPP pula yang dilantik menjadi tunggak program Minggu Suai Kenal? Lebih membekas di dalam hati pro-M, tatkala mereka bertegur sapa dan berkenalan dengan pelajar baru, YDP sendiri datang memerhati tindak tanduk exco-exconya seperti mengesyaki pro-M sedang melakukan sesuatu yang tidak baik kepada adik-adik. Lagaknya kelihatan tidak senang sekali. Ada pula bekas calon pusat yang telah kalah bertanding sebelum ini tiba-tiba datang mengambil gambar pro-M. Terselit juga kebanggaan untuk pro-M kerana YDP MPP sendiri sanggup ‘mencemar duli’ mengiringi langkah kami, exco-exconya. Terima kasih diucapkan dan kami sangat menghargainya. Di samping itu, Aspirasi juga memberi amaran kepada pro-M supaya tidak mendekati pelajar baru sepanjang minggu orientasi. Lebih menggelikan hati, ada pula peraturan yang baru wujud di mana, pelajar-pelajar selain PPMS tidak boleh bercakap dengan sesiapapun di dalam USM. Di mana hak MPP pro-M sebagai perwakilan pelajar? Ingin membantu adik-adik yang benar-benar memerlukan bantuan pun dikatakan ingin membuat kacau. Pas masuk tidak diberikan dan urusan dengan dekan-dekan pusat pengajian masing-masing juga tergendala.

Selama memegang amanah sebagai MPP, pro-M telah bertungkus-lumus dalam usaha menjaga kebajikan mahasiswa. Saudara Azhari telah berusaha menguruskan isu isyarat lampu hijau di pintu masuk RST yang terlalu singkat, permohonan pembinaan perhentian bas depan Restoran Khaleel dan pembinaan longkang baru di Sungai Dua yang sebelum ini berbahaya kepada pejalan kaki. Hasilnya sudah dapat dilihat dalam jangka masa tidak sampai seminggu surat dihantar kepada pihak berkenaan. Kesempatan ini digunakan pula oleh Che Mat untuk mewar-warkan kejayaan menjaga kebajikan pelajar oleh MPP di bawah pimpinannya sedangkan yang berpenat-lelah menguruskan kebajikan ialah Exco Korporat dan Pengantarabangsaan yang berstatus pro-M dan bukan pun Exco Kebajikan dan Kampus Sejahtera yang sepatutnya bergerak ke hadapan dalam menangani isu ini. Tahniah kepada saudara Azhari. Walaupun kita kelihatan seperti dipergunakan, namun yang lebih kita harapkan ialah ‘simpanan’ di sana nanti. Rakan-rakan mahasiswa sekalian, jika kalian berada di pihak kami, bolehkah rakan-rakan beritahu kami apakah perasaan yang sepatutnya kalian alami? Marah? Sedih? Suka? Puas hati? Tak kisah? Padan muka? Walau apa pun, kalian ialah golongan intelek. Gunakanlah anugerah akal fikiran yang sihat itu untuk menilai semua ini tanpa dibelenggu oleh pemikiran yang sempit dalam membuat pertimbangan.

Selama berada di bawah tampuk kepimpinan Aspirasi, kehadiran dalam mesyuarat nyata menyedihkan kerana MPP Aspirasi sendiri ada yang pernah hadir cuma sekali dua. Exco Sukan, Rekreasi, Kebudayaan dan Integrasi hanya sering diwakili oleh pro-M manakala dua exco lain sudah tidak dapat dihubungi. Hilang entah ke mana. Projek yang sepatutnya diuruskan oleh portfolio ini diserahkan pula kepada Pembantu Exco. Pengerusi portfolio ini menyepi sebaik sahaja selesai sambutan Tahun Baru Cina. Semua MPP Aspirasi yang berbangsa cina sangat jarang dapat ditemui hadir dalam perjumpaan dan mereka sering mengelak daripada mengikuti program-program universiti dan KPT. Namun, jika pihak pro-M yang tidak hadir mesyuarat dan program, kecohlah USM dengan berita bahawa pro-M malas datang mesyuarat dan sengaja beri alasan untuk tidak hadir program.

Kisah ini terpaksa pro-M ketengahkan kerana suara kami sudah tidak ingin didengari lagi di dalam bilik persidangan MPP. Ini hanya sekadar luahan hati kami untuk membuka minda mahasiswa sekalian. Telah banyak sesi berat sebelah dipraktikkan dalam kepimpinan Che Mat, YDP yang kami sanjungi selama ini. Namun, kebaikan dan kerjasama yang telah kami hamparkan nampaknya telah disalahgunakan. Tiada erti lagi kami terus berdiam diri jika penindasan ini berterusan.

Kepada mahasiswa yang bijak pandai dalam menilai kebenaran dan kebatilan, semoga tulisan ini membuka mata hati kalian untuk mengatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah. Anda mahasiswa yang mempunyai suara anda sendiri. Renungkanlah semua ini dengan rasional dan gunalah kematangan anda untuk membuat penilaian sendiri. Selama ini kami masih mampu mendiamkan diri dan terus memberi kerjasama yang padu untuk menguatkan barisan MPP yang ada. Tetapi selepas melalui lebih daripda 3 kisah penindasan, kami merasakan inilah masanya kami menyuarakannya untuk pengetahuan umum. Sudah terang lagi bersuluh, hak kami sebagai MPP yang naik secara sah dan diiktiraf universiti dan mahasiswa dinafikan sama sekali. Di sini, kami tidak sekali-kali menyalahkan mereka yang selalu memandang rendah terhadap keupayaan kami kerana kami tahu mereka ialah orang yang tidak mengetahui. Justeru, semoga siri diskriminasi kepada kami dapat dijadikan suri teladan kepada mahsiswa supaya memilih pemimpin yang bercirikan seorang pemimpin pada masa hadapan. Kami redha menjadi mangsa keadaan ini dan diharap agar penganiayaan ini tidak sia-sia dan dapat membuka mata mahasiswa yang cerdik pandai sekalian. Inilah apa yang sebenar-benarnya telah berlaku dan apa yang akan berlaku pada esok harinya kami serahkan kepada Allah Yang Maha Memelihara.

Kami berpegang kepada hadith Rasulullah SAW:
“ Aku telah diperintahkan supaya berkata benar meskipun pahit.” Baginda berkata lagi: “Aku telah diperintahkan supaya berkata benar dan supaya di dalam mengatakan sesuatu kebenaran kerana Allah, tidak gentar terhadap celaan orang-orang yang mencela.” Baginda mengatakan lagi: “ Sebaik-baik jihad ialah berkata dengan perkataan yang benar di hadapan penguasa yang zalim.”

Kami tahu kami akan dipanggil untuk mengadap pihak atasan kerana ‘keberanian’ kami membuka pekung di dada mereka ini. Segala akibatnya kami sedia tanggung bersama asalkan kebenaran tertegak di bumi Minden tercinta ini.
Kami yakin, doa orang yang teraniaya sekali- kali tidak akan ditolak oleh Allah. Kepada kalian yang suka bermain dengan kami, kali ini kami sedia bermain bersungguh-sungguh dengan kalian. Dan jangan kalian lupa, Allah sentiasa berada di pihak yang benar. Semoga kalian segera bermuhasabah dan bertaubat kerana kita ada janji dengan Allah untuk menemuinya di sana nanti.
Kepada Prof Omar Osman, kami mohon maaf kerana terpaksa menulis surat terbuka ini. Kami tahu Dr. Omar tidak pernah bersikap tidak adil kepada kami selama ini. Kami hargai sikap keadilan dan keterbukaan Dr tersebut. Semoga Allah merahmati Dr. Omar sekeluarga dunia akhirat.
Akhir kalam, kami barisan pro-M USM seramai 5 orang ingin menujukan sebuah puisi untuk insan bernama mahasiswa di seluruh IPTA/S.

Bilakah lagi kita semua satu hati
Bilakah lagi keamanan kan dikecapi
Bilakah lagi keadilan kan dijulang tinggi
Bangunlah wahai mahasiswa kita satu hati
Marilah bersama bersatu menentang kezaliman
Sedarlah pembalasan tuhan pasti akan datang
Jangan takut..
Berjuanglah untuk keadilan..

Sekian, terima kasih.

“WE UNITE FOR STUDENTS’ AGENDA”

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PRO-MAHASISWA 2007/2008,
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA.
30 Jun 2008.

4 comments:

  1. memang tak patut mereka tu... aku rasa surat ni biar bagi semua mahasiswa baca... selit je bawah pintu semua bilik...hahaha padan muka depa...hehe... kalau nak minta tolong, boleh je ;)

    ReplyDelete
  2. kalo mcm tue,, pakat turun satu juta rakyat protes kerajaan, protes barang naik, protes minyak naik,,, lekas semua sertai 1 jura rakyat di KL

    ReplyDelete
  3. salam zati..
    blog kak gyh tgh hangat dikomen2 oleh aspirasi nii..
    herm, sjak 2 menjak ni ramey plak yg bertndng..semoga adala manfaat depa masuk..bukan setakat nak respon surat kita kan..

    syg zati,
    ..kak gayah..

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum...
    er,bukan nak komen ape yg zati tulis..
    jz nak respons "pendapat bernas" daripada `pembela_rakyat` tu je..
    nak tanye sket..ape faedah yg kite dapat kalau kita x abes2 tunjuk protes?...saye ni bkan nye sokong kerajaan or pembangkang...cume x bersetuju dengan pandangan tersebut..kalau harga barang naik,harga minyak naik, kenape xnak duduk n berbincang cara2 untuk memnangani masalh tersebut?kenapa pemimipin2 n semua rakyat m1sia xnak memerah otak masing yang ALLAH kurniakan tu untuk selesaikan masalah ni..kenape?leh tlg jawab c..
    er,minta maaf la zati,dd jz nak balasa pandangan kat atas tu je..
    assalamualaikum...

    ReplyDelete